Selamat Tinggal Sahabat - Nurnadia 06.01.25

إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya kami kembali”

Perkenalan saya dengan arwah Kak Nad sangat singkat. Kami bertemu di Broga atas izin Allah S.W.T. Pada mulanya, kami berbual sekadar untuk menghilangkan rasa kekok. Dalam perbualan itu, saya mendapat tahu bahawa kami bekerja di syarikat yang sama, cuma di unit yang berbeza.

Arwah mengajak saya bertukar nombor telefon, dan dari situ kami mula berkomunikasi melalui WhatsApp. Dari segan-segan, hubungan kami menjadi semakin rapat. Seperti seorang kakak, arwah seorang yang sangat kuat semangatnya. Sebelum disahkan menghidap kanser, arwah telah diuji dengan kehilangan ibunda tercinta.

Setelah bercuti lebih setahun, beberapa bulan lalu arwah kembali bekerja. Penyakitnya telah sembuh. Panas tak sampai ke petang, semasa arwah kak Nad checkup, arwah ada menyatakan ubat kimo tu telah menyerang hatinya kembali. Allah..

Jodoh pertemuan kami berdua tidak panjang. Hampir tiga tahun merancang untuk bertemu, tetapi pelbagai dugaan menghalang. Sehingga ke akhir hayatnya, saya tidak sempat memeluknya. 

Pada hari raya yang lalu, arwah berniat untuk memberikan saya tudung, tetapi tidak kesampaian. Ya Allah, sedihnya hati ini. Pada hari pemergian Kak Nad, saya masih berada di kampung kerana menguruskan emak dan ayah yang terlibat dalam kemalangan.

Saya kehilangan seorang teman yang sentiasa ada untuk saya berbual dan berkongsi cerita. Terasa sunyi secara tiba-tiba.




Kami pernah berborak pasal politik. Sepanjang mengenali arwah, aura positif sentiasa ada pada nya. Sentiasa rindu untuk berborak dengan arwah. Arwah kak Nad meninggalkan dua orang cahaya mata.

Pernah sekali arwah ingin memperkenalkan saya pada kawan sama unit dengannya, tetapi selalu ke unit saya tujuan kerja. Puas arwah sebut nama saya, kawannya masih tidak mengenali saya. Hinggalah kedua-dua mereka whatsapp saya. Rupanya miscommunication, kawannya kenali saya dengan panggilan lain dari arwah. Bila diingatkan semula, buat kita tersenyum.

Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosanya, dan cucurilah rahmat ke atas rohnya serta tempatkanlah arwah dikalangan orang-orang yang beriman. Aamiin Aamiin Aamiin..

Post a Comment

Next Post Previous Post